Sunday, Sep 24th

Kemaskini terakhir: 03:39:40 PM GMT

Anda Di Sini: Anjung

FIQH DAKWAH

HIKMAH ASAS DAKWAH

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Dakwah itu boleh diibaratkan sebagai sebuah tanaman yang unggul. 

Bagi menghasilkan buah yang istimewa maka seharusnyalah tanaman itu :

  1. Ditumbuhkan dengan cara yang baik.
  2. Dikembangkan pada tanah yang subur.
  3. Disiram dengan air secara berterusan dan penuh kesabaran.
  4. Dirawat dengan penuh hikmah bagi mengatasi lalang-lalang yang kadangkala tumbuh dan menempel secara liar di sekitarnya.

Memangkas tanaman liar dengan tidak berhati-hati boleh mengenai tanaman yang sebenarnya yang sangat-sangat kita jaga, sebaliknya membiarkannya tumbuh bersama dengan tanaman kita bukanlah satu toleransi yang baik.

Kombinasi yang baik antara pemilihan cara bercucuk tanam, pemilihan tanah yang sesuai dan keupayaan dalam pengelolaan mampu mengeluarkan hasil yang istimewa dan memuaskan, yang tentunya sebanding dengan usaha, susah payah dan penat lelah yang dikeluarkan. 

Dakwah pada hakikatnya adalah mengajak orang untuk kembali kepada :

  1. Fitrahnya.
  2. Mendekatkannya.
  3. Mengakrabkannya.
  4. Mendamaikannya.
  5. Mempersaudarakannya.

Manakala tujuannya bukan untuk :

  1. Menjauhkannya.
  2. Mencerai-beraikannya.

Dakwah yang berhasil adalah kembalinya seseorang kepada hidayah Allah dengan perantaraan seorang pendakwah.

Keberhasilannya mengajak seseorang kembali ke jalan Allah itu lebih baik baginya berbanding ia mendapatkan sesuatu yang sifatnya bernilai material. 

Rasulullah saw bersabda kepada Saiyidina Ali ra :

" Wahai Ali, seseorang yang mendapatkan hidayah Allah melalui usaha engkau adalah lebih baik daripada engkau memperolehi seekor unta merah". (HR Bukhari dan Muslim)

Tidak semua kebenaran yang disampaikan tepat sasarannya seperti yang diharapkan. Kadangkala kebenaran itu kelihatan menakutkan bila disampaikan dengan memakai cara-cara yang tidak hikmah.

Kemampuan setiap orang dalam mencerna kebenaran itu berbeza-beza dan tugas seorang pendakwah adalah menyampaikan kebenaran Islam itu dengan cara yang sesuai dengan keadaan masyarakat agar boleh diterima dengan penuh kesedaran. 

Tidak perlu memaksakan agar ia segera berubah kerana tugas kita hanyalah penyampai bukan pemberi hidayah.

Seboleh-bolehnya ia hendaklah disampaikan dengan cara yang bijak dan sebaik mungkin dengan sifatnya yang tidak menghukum. 

BUAH DARI KELEMAHLEMBUTAN

Pada suatu hari, ketika Nabi saw dan para sahabatnya sedang berada di masjid, tiba-tiba datang seorang Arab Badui kencing di salah satu sudut masjid. Melihat kelakuan badui ini para sahabat menjadi marah, bahkan ada sebahagiannya yang hendak menarik dan mengajarnya.

"Heh! Heh!", kata para sahabat mengherdik si Badui agar tidak kencing di situ, namun tidaklah demikian sikap Rasulullah saw . Baginda melarang para sahabatnya berbuat kasar kepada si Badui ini dan menyuruh mereka membiarkan si badui itu menyelesaikan hajatnya. Setelah `qadha hajat'nya selesai, dipanggillah orang itu. 

Dengan lemah lembut beliau berkata kepadanya :

"Ini adalah Masjid, bukan tempat kencing dan buang kotoran. Sesungguhnya tempat ini untuk zikrullah, solat dan membaca al Quran".

Baginda kemudiannya menyuruh sahabat untuk menuangkan air pada bekas kencing orang tersebut. 

Ternyata sikap dan tutur kata Nabi yang lemah lembut terhadap si badui itu menyentuh hatinya, sangat berbeza dengan para sahabat yang nampaknya begitu geram dan dia kagum dan takjub dengan kehalusan budi pekerti baginda.

Maka dengan sikap baik Nabi saw kepadanya itu, ia berdo'a :

"Ya Allah rahmatilah aku dan Muhammad dan jangan rahmati seorang pun selain kami berdua".

Dalam doanya itu pun ia sempat menyindir para sahabat. 

Kemudian Nabi saw mengingatkan orang-orang yang ada di situ dengan kelembutan :

"Kenapa engkau menyempitkan sesuatu yang luas? Bukankah rahmat Allah itu luas?". 

Demikianlah Imam Bukhari dan Muslim menukilkan peristiwa itu dari sahabat, Anas bin Malik. 

KESABARAN DAN KELEMBUTAN

Kesabaran dan kelembutan adalah salah satu dari sekian banyak akhlak mulia Rasulullah saw, bahkan terhadap mereka yang pernah menyakiti dirinya sekalipun. Baginda sangat memperhatikan lawan bicaranya dan sangat memahami bagaimana cara menyampaikan sesuatu tanpa perlu menyakiti hatinya. 

Peribadi baginda yang lemah lembut dalam berdakwah, penuh hikmah adalah teladan bagi kita semua dan memang demikianlah hukum asal dalam berdakwah. 

Posisi para sahabat memang benar dalam rangka nahi mungkar, iaitu melarang seseorang kencing dalam masjid tetapi Nabi lebih memilih menjadikannya sebagai amar makruf demi melihat si badui yang melakukan perkara tersebut lebih kepada kebodohannya dan hasilnya, hanya beliau yang didoakan si badui walaupun akhirnya ia juga berdoa untuk para sahabatnya. 

Tidaklah kelembutan itu ada pada diri seseorang kecuali ia akan :

  1. Menambah daya pesonanya.
  2. Membuat nyaman mereka yang ada disekelilingnya.
  3. Menjadikannya didengar perkataannya.

Baginda saw bersabda : 

"Tidaklah ada kelembutan pada sesuatu, kecuali ia akan membuatnya indah. Dan tidaklah tercabutnya dari sesuatu, kecuali akan menjelekkannya. (HR Muslim) 

Sabdanya lagi :

"Barangsiapa yang terhalang dari berbuat kelembutan, maka akan terhalang dari kebaikan." (HR Muslim) 

Bahkan Allah swt pun menyatakannya dengan terang bahwa larinya manusia dari kebenaran lantaran disampaikan dengan cara-cara yang keras dan tidak hikmah.

Mereka lari bukan kerana menolak kebenaran tetapi cara si penyampai yang :

  1. Tidak berkenan di hati.
  2. Menjadikan hati mereka memberontak.
  3. Menyebabkan mereka tidak tertarik dengan kebenaran yang disampaikan.

Firman Allah swt :

"Disebabkan rahmat Allah-lah engkau berlemah lembut. Sekiranya engkau berhati keras nescaya mereka akan lari dari sekitarmu. Maafkanlah mereka dan mintakan ampun untuk mereka." (QS Ali Imran : 159) 

Cara terbaik untuk merebut hati manusia adalah dengan kelembutan. Kelembutan itu dari Allah dan letaknya adalah di hati. 

Barangsiapa ingin menguasai hati manusia maka hendaklah ia meminta kepada Pemilik hati manusia agar ia dilunakkan hatinya agar melunak pula hati manusia kepadanya. Cara implementasinya adalah dengan menghadirkan sifat lembut itu melalui ucapan dan perilaku sehari-hari. 

Sepertimana kita ingin diperlakukan manusia maka seperti itulah yang seharusnya kita lakukan.

Dakwah dengan hikmah secara idealnya adalah berprinsip di mana :

  1. Kembalinya manusia ke dalam hidayah Allah adalah lebih baik daripada membiarkannya tetap berada dalam kesesatan.
  2. Mendoakannya agar mendapatkan hidayah Allah adalah lebih baik daripada memohonkan azab untuknya.

Sungguhpun demikian, sikap tegas bukanlah tidak pernah dicontohkan oleh Rasulullah saw.

Bilakah kita perlu bersikap lunak dan bila pula kita perlu berskap tegas?

Kadang-kadang bagindapun bersikap tegas bahkan keras. Yang terpenting dalam perkara ini adalah bagaimana cara meletakkan sikap yang sesuai dengan situasi dan keadaan. 

Seorang pendakwah pada dasarnya umpama seorang doktor dalam menghadapi pesakitnya.

  1. Adakalanya ia memberikan ubat dengan dos yang rendah.
  2. Jika belum membuahkan hasil, ia naikkan lagi dosnya.
  3. Namun pada keadaan tertentu, ia akan memberikan ubat dengan dos yang tinggi.
  4. Bahkan berkemungkinan juga ia akan menghantarkannya ke bilik pembedahan.
  5. Apabila usaha itu pun masih belum membuahkan hasil atau malah membahayakan organ yang lainnya, maka jalan terakhirnya adalah memotong organ yang berpenyakit tersebut.

Inilah sebenarnya fasa dakwah dengan hikmah yang mesti dilakukan. Tepat dalam menempatkan sesuatu pada tempatnya, baik dalam ucapan mahupun perbuatan. Dia tahu bila ia mesti bersikap lembut dan bila mesti bersikap tegas. 

Kepada orang awam atau masyarakat yang menjunjung nilai kesopanan, tidak perlu bersikap keras, cukuplah dengan lemah lembut.

Terburu-buru mengecap mereka dengan sesat atau ahli bid'ah bukanlah penyelesaian. Kebiasaan perilaku orang awam tidak berdasarkan keilmuan yang jelas dan bukan keengganan mereka untuk menerima kebenaran. 

Boleh jadi nasihat yang baik yang kita sampaikan itu adalah perkara tentang kebaikan yang pertama kali mereka terima.

Sebaliknya sikap tegas dan keras diperlukan untuk menasihati seseorang yang pada dasarnya memiliki ketetapan dan keikhlasan dalam beragama agar tidak terjerumus lebih dalam lagi dalam kesalahan.

Nabi saw pernah marah kepada Muadz bin Jabal ra kerana mengimami solat dengan surah yang panjang sehingga ada salah seorang yang keluar dari jamaah solat dan memilih untuk solat bersendirian. Ketika perkara itu disampaikan kepada Nabi, beliau berkata :

"Ya Mu'adz, apakah kamu mahu jadi tukang fitnah?!".

Sahabat sekaliber Muadz bin Jabal ra tidak akan lari meninggalkan Islam hanya kerana peristiwa itu, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya di mana beliau benar-benar menyedari kesalahannya dan makin menjaga dirinya kerana beliau tahu bahwa tidaklah Nabi menegurnya kecuali agar dirinya tidak larut dalam kesalahan dan Nabi tidak pernah diam melihat kesalahan yang berlaku. 

Mereka yang terlelap dalam kelalaian, tetapi dalam dirinya masih terselit kecenderungan untuk berbuat baik atau mereka yang hatinya tengah sakit yang memerlukan "shock therapy" seperti ini sebagai pembakar semangat dalam mengikuti kebenaran.

Di sinilah keseimbangan dalam bersikap yang sayugianya dimiliki oleh semua pendakwah dalam setiap dakwahnya dan di atas pemahaman inilah metod dakwah itu dibangun. 

Allah swt berfirman,

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk" (QS An Nahl : 125)

Ya Allah, kurniakanlah sifat hikmah dalam kami melaksanakan tugas dakwah di kalangan manusia. Sampaikanlah apa yang keluar dari hati kami kepada hati-hati yang sangat memerlukan bagi membuat perubahan di dalam diri mereka. Bantulah kami dengan cahayaMu yang akan mencerahkan rongga-rongga hati manusia yang mungkin telah menjadi gelap dan kelam disebabkan oleh dosa-dosa dan keingkaran yang dilakukan oleh manusia.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

 

KEMANTAPAN AKHLAK PENDAKWAH

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Cara tutur kata dan penampilan seorang pendakwah akan menarik perhatian orang yang mendengar dan melihatnya kerana pada dasarnya jiwa manusia cenderung dan tertarik dengan penampilan yang indah dan baik.

Dari sini kita boleh melihat bahwa yang dipilih sebagai pegawai-pegawai pemasaran hasil keluaran sesuatu kilang adalah orang-orang yang berpenampilan menarik di samping kualiti produk yang terbaik.

Pada hakikatnya, dakwah adalah menawarkan sebuah risalah dan landasan pola berfikir yang tercermin dalam :

  1. Akhlak.
  2. Keperibadian.
  3. Penampilan.

Imam Hasan Al-Banna pernah ditanya :

"Kenapa kamu tidak menyusun buku?"

Beliau menjawab :

"Tugas aku bukanlah untuk menyusun buku kerana buku biasanya akan diletakkan di perpustakaan dan amat sedikit sekali orang yang mahu membacanya. Berbeza halnya dengan seorang muslim, ia adalah 'buku yang sentiasa terbuka' ke mana pun ia berjalan, itu adalah dakwah."

Betapa ramai pendakwah yang tidak pandai bercakap dan berkhutbah tetapi dengan rahmat Allah, ramai mad'u yang berdiri di sampingnya.

Ini disebabkan oleh :

  1. Getaran jiwanya.
  2. Pantulan wajahnya.
  3. Kelembutan perasaannya.
  4. Penampilan yang simpatik.
  5. Keimanan yang mendalam (al-iman al-amiq).
  6. Kefahaman yang tepat dan menyeluruh (al-fahmu ad-daqiq)

yang dimiliki oleh seorang pendakwah.

Ini bukanlah merupakan perkara yang baru kerana ia sudah ada sejak masa-masa awal perjalanan dakwah Islamiah.

Kita boleh menyaksikan sahabat Dihyah Al-Kalbi ra, delegasi Rasulullah saw yang diutuskan untuk menemui Heraklius, penguasa Romawi.

Dihyah ra termasuk dalam deretan sahabat yang terkemuka. Ia mempunyai bentuk tubuh badan yang baik dan wajah yang tampan.

Suatu ketika (tatkala menyampaikan wahyu), Jibril as pernah turun dengan menyerupai Dihyah ra. la bukan termasuk ahli Badar. Peperangan yang pertama kali ia ikuti adalah perang Khandaq. Ia juga ikut serta dalam perang Yarmuk sebagai pemimpin pasukan ketumbukan.

Mush'ab bin Umair ra juga berwajah tampan dan berpenampilan simpatik. Ibnu Sa'ad menceritakan dalam ‘Thabaqat’nya.

"Ibu Mush'ab adalah wanita yang kaya raya. Ia memberikan sebaik-baik pakaian dan sebaik-baik wangian untuk Mush'ab. Seluarnya buatan Hadhramaut. Rasulullah saw pernah bersabda, 'Aku tidak pernah melihat di kota Makkah ini orang yang lebih indah rambutnya, lebih halus pakaiannya, dan lebih banyak kenikmatannya, daripada Mush'ab bin Umair ra.'"

Ja'far bin Abu Thalib ra yang meraih ‘syahadah’ (kesyahidan) dalam perang Mu'tah juga berwajah tampan dan berpenampilan menarik. Beliau termasuk delegasi yang diutus oleh Rasulullah saw kepada para raja dan penguasa.

Dari Abu Hurairah ra, ia berkata bahwa ada seorang laki-laki tampan yang datang kepada Rasulullah saw lalu berkata,

"Ya Rasulullah, sesungguhnya saya adalah orang yang suka keindahan dan saya telah diberi oleh Allah keindahan itu seperti yang engkau saksikan sehingga saya tidak suka jika ada orang yang melebihi saya meskipun hanya berupa sandal. Apakah ini termasuk sifat sombong?"

Rasulullah saw menjawab :

"Tidak, sesungguhnya yang dimaksudkan dengan sifat sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan (menghina) orang lain." (HR Abu Daud)

Begitu pula seorang pendakwah yang hidup dalam sebuah masyarakat atau yang menjadi utusan pada sebuah yayasan atau jamaah, hendaklah sentiasa berpenampilan baik dan berakhlak mulia.

Sebuah ungkapan mengatakan :

"Kejayaan sebuah misi akan bergantung kepada si pembawa misi tersebut."

Penampilan dan akhlak yang baik akan membuatkan orang yang baru sahaja memandangnya menjadi tertarik dan simpati. Maka kita akan menjumpai ada sebahagian orang yang menggantungkan kepercayaan melalui pandangan matanya.

PANDANGAN KASIH SAYANG

Rasulullah saw bersabda :

"Barangsiapa memandang saudaranya dengan kasih sayang niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosanya."

Apakah pandangan yang dimaksudkan oleh hadits di atas?

Adakah ia pandangan sekilas lalu atau pandangan yang dipenuhi keteduhan dan kasih sayang?

Yang dimaksudkan oleh hadits di atas adalah pandangan yang ditujukan pada hati dan mengajaknya berbicara dengan lemah lembut.

Umpama seperti sebuah kamera, hanya dengan satu petikan butang dapat menangkap gambar yang sangat indah.

Itu semua tidak akan dapat direalisasikan kecuali dengan pandangan yang :

  1. Tulus dan suci.
  2. Penuh kasih sayang.
  3. Penuh rasa cinta kerana Allah.

Mata adalah alat terpenting bagi seorang pendakwah dan merupakan wasilah yang memberi kesan yang sangat besar bagi pendakwah.

Ini adalah kerana ketika seorang pendakwah memandang saudaranya sesama muslim dengan penuh kasih sayang, seakan-akan ia telah memberikan hartanya yang paling berharga.

Jika pandangan seseorang yang dipenuhi oleh rasa dengki sahajapun mampu menghancurkan, maka pandangan yang penuh cinta dan kasih sayang juga sangat berpengaruh dalam menghantarkan kepada kebenaran yang akhirnya dapat mempereratkan barisan dan memperkuatkan bangunan. Ini merupakan kekuatan terpendam yang dimiliki oleh manusia.

Apa yang kita sembunyikan dalam hati akan tersingkap dengan tatapan mata. Seorang muslim adalah cermin bagi saudaranya.

Allah swt berfirman :

"Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dalam keadaan tidak mengetahui suatu apa pun dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati agar kamu bersyukur." (QS An-Nahl : 78)

Suatu ketika seorang pendakwah diundang untuk memberikan ceramah di suatu perkhemahan musim panas di salah satu negara Arab. Pendakwah itu sudah biasa mengenali pemuda-pemuda yang ikut serta dalam perkhemahan itu.

Tatkala pendakwah itu datang ke tempat itu pada waktu yang telah ditentukan, ternyata tidak seorang pun menyambut kedatangannya. Beberapa saat kemudian ada beberapa pemuda yang berjalan dengan berhati-hati serta penuh malu menuju ke arah pendakwah tersebut dan itulah yang menyebabkan mereka mendapat hukuman dari ketua perkhemahan mereka.

Suasana pun menjadi sangat kaku dan ianya berlangsung agak lama sehingga pada masa solat berjamaah dan santapan makan pun suasananya masih terasa kaku.

Kemudian pendakwah itu dipersilakan untuk memberikan ‘taushiah’ (nasihat). Pendakwah tersebut sama sekali tidak menyinggung kejadian yang baru sahaja berlaku yang belum pernah dijumpainya sebelum ini.

Setelah acara selesai, dia pun pulang, tetapi khuatir dengan kejadian suasana kaku seperti itu jika tidak diluruskan, pemuda-pemuda tadi akan tercelup atau terbiasa dengan perilaku yang bertentangan dengan ruh dakwah dan ukhuwah Islamiah.

Di atas rasa tanggungjawab tersebut, beliau menyempatkan diri untuk bertemu dengan pemuda-pemuda tersebut.

Dalam pertemuan itu beliau mengatakan :

"Sesungguhnya apa yang saya alami pada pertemuan pertama di perkemahan itu membuatkan saya sedih. Jika peraturan perkemahan adalah seperti itu (iaitu : tidak boleh menyambut tetamu), maka itu adalah sesuatu yang sangat keterlaluan. Peraturan tentera sekalipun tidak melalaikan etika memuliakan tetamu yang mesti disambut dengan hangat, lebih-lebih lagi jika tetamu itu adalah tetamu undangan. Tambahan pula ini adalah perkhemahan berbentuk lslamik.

Rasulullah saw bersabda :

Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, hendaklah ia menghormati tetamunya." (HR Muslim)

Sebenarnya apa yang saya alami di waktu itu boleh saya jadikan sebagai tema ucapan saya dengan menunjukkan di mana letaknya kesalahan sikap itu namun manhaj dakwah mengajarkan agar saya tidak marah hanya kerana perasaan peribadi. Oleh kerananya, saya tahan perasaan marah saya demi menghormati petugas perkemahan itu. Meskipun pada waktu itu saya boleh membahasnya secara singkat dan dengan sindiran sahaja, tetapi saya lebih mengutamakan ketaatan dan berjalan sesuai dengan peraturan perkemahan.

Kaidah kita dalam memberikan nasihat itu adalah :

Hendaklah nasihatmu terhadap saudaramu kamu lakukan :

  1. Dengan sindiran dan bukan terang-terangan.
  2. Untuk membimbing kepada kebenaran bukan untuk menyakiti.

Saudaraku sekalian, sesungguhnya orang seperti saya ini datang ke tempat ini dengan melalui perjalanan yang panjang dan meletihkan serta menempuh jalan ribuan batu.

Saya datang kepada kamu dengan perasaan rindu dan kasih sayang tanpa ada tujuan duniawi dan tujuan peribadi.

Saya datang untuk melihat wajah-wajah kamu dan itulah nikmat yang sangat besar yang dapat menghilangkan rasa penat dan lelah setelah menempuh perjalanan yang panjang.

Pandangan inilah yang sering terukir dengan untaian kata yang amat indah :

“Barangsiapa memandang saudaranya dengan pandangan penuh kasih sayang,

maka Allah swt akan mengampuni dosa-dosanya.”

Allah swt berfirman :

"Bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru Rabb-nya di pagi dan

petang hari dengan mengharap keridhaanNya, janganlah kedua mata kamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas." (QS Al-Kahfi : 28)

Apakah setelah semua ini kamu mengharamkan pandangan itu dan menghalangi datangnya ‘maghfirah’ (ampunan) Allah swt?

Tidakkah kamu mengetahui dari perjalanan hidup Rasulullah saw, betapa berharganya nilai sebuah pandangan?

Marilah kita lihat bagaimana kisah Ka'ab bin Malik ra, seorang sahabat yang termasuk dalam deretan sahabat-sahabat yang tidak ikut serta dalam perang Tabuk.

Allah swt menurunkan hukuman kepada ketiga orang itu, di antaranya adalah Ka'ab bin Malik, iaitu agar seluruh kaum muslimin tidak menjalinkan hubungan dengan mereka.

Ka'ab berkata :

'Kaum muslimin telah memencilkan kami selama lima puluh hari hingga bumi ini terasa sempit dan rasanya tidak ada tempat kembali kecuali Allah swt. Sayalah yang paling teguh di antara ketiga orang tersebut.

Saya masih tetap ikut solat berjamaah di masjid dan masih tetap pergi ke pasar walaupun tidak seorangpun yang mengajak saya berbicara.

Saya datang kepada Rasulullah saw yang di waktu itu sedang duduk di masjid selepas mengerjakan solat. Saya mengucapkan salam lalu saya duduk di sebelahnya sambil sesekali memandang kepada beliau. Tatkala saya menatapnya, beliau memalingkan wajahnya.

Saudaraku sekelian, hukuman itu datangnya dari Allah swt. Meskipun demikian, Rasulullah saw yang diutus sebagai rahmat bagi sekelian alam masih tetap memandang kepada Ka'ab ra dan begitu juga dengan Ka'ab yang masih berusaha untuk mencuri pandang.

Hukuman itu adalah untuk pengajaran dan tarbiyah dan bukan untuk balas dendam. Jika kita kehilangan pandangan yang penuh kasih sayang, maka kita telah kehilangan rahmat kehidupan.

Setelah pembicaraan tentang pentingnya pandangan itu selesai, ramai di antara pemuda-pemuda tersebut yang menangis serta air mata mereka membasahi pipi-pipi mereka.

Beberapa hari kemudian ramai di antara pemuda-pemuda tersebut yang mengirim surat mengungkapkan kebenaran apa yang telah pendakwah itu sampaikan.

Siapakah pendakwah tersebut?

Beliau adalah Abbas Hasan As Siisi, seorang dari generasi pertama yang mendapat tarbiyah secara langsung dari Imam Hasan Al Banna. Beliau merupakan seorang yang mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman tentang rahsia hati.

Generasi pertama didikan Imam Hasan Al Banna itu benar-benar telah mengetahui rahsia hati manusia. Oleh kerananya, langkah yang mereka tempuhi memang diorientasikan untuk membersihkan hati mereka dengan hidayah llahiah terlebih dahulu dan kemudian setelah itu mereka memberikan pengetahuan dan pengalaman yang mereka dapatkan kepada orang lain.

Maka dari semua itu, kita dapat memahami bahwa sesungguhnya pendakwah yang mendapat bimbingan adalah mereka yang menyampaikan sesuatu kalimat :

  1. Tepat pada masa dan tempatnya.
  2. Berkesan pada jiwa.
  3. Memberi pengaruh kepada akal.
  4. Bermanfaat.

Ini adalah kerana kata-kata adalah dakwah, maka tingkat kesedaran dan ketelitian berkadar lurus dengan usaha-usaha menyentuh dan mengetuk hati sehingga objek dakwahpun menyambutnya.

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami ilham-ilham yang baik sehingga kami mampu untuk memahami rahsia hati ini lalu berusaha untuk mengetuk pintunya, membuka ruangannya, memenuhi dinding-dindingnya, berinteraksi dengan perasaan-perasaan yang mendiaminya serta membimbing dan mengarahkannya ke suatu matlamat yang suci dalam mengagungkan Pencipta dan Pemilik hati ini iaitu Allah Jalla Jalaaluh.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS

Dipetik dari AJK IKRAM