Thursday, Dec 14th

Kemaskini terakhir: 03:39:40 PM GMT

Anda Di Sini: WANITA AKTIVITI TANGAN YANG MENGHAYUN BUAIAN MENGGONCANG DUNIA BERJAYA MENARIK PESERTA PELBAGAI PERINGKAT UMUR

TANGAN YANG MENGHAYUN BUAIAN MENGGONCANG DUNIA BERJAYA MENARIK PESERTA PELBAGAI PERINGKAT UMUR

Kota Bharu, 8 Disember (Sabtu) : Wanita IKRAM Bachok telah menganjurkan seminar wanita bertemakan ‘Tangan yang Menghayun Buaian Menggoncang Dunia’ dengan kerjasama Persatuan Kesihatan Reproduktif Negeri Kelantan (ReHAK) dan IKRAM Siswa. Seminar ini telah diadakan di Hotel Juita Inn bermula 2.45 pm hingga 5.30 pm dan berjaya menarik minat 137 orang peserta wanita dari pelbagai peringkat umur.

Program ini telah dimulakan dengan bacaan Al Quran oleh Hjh Siti Mariam binti Man dan diikuti dengan Ucapan Aluan oleh Ustazah Hasanah bt Ibrahim, Ketua Wanita IKRAM Daerah Bachok. Ucapan sulung Ketua Wanita telah mengajak para hadirin untuk bersama-sama berusaha melakukan perubahan untuk membaiki keadaan masyarakat yang kini tenat dengan kebejatan sosial. Program ini juga telah dirasmikan oleh Tn Haji Che Rahimi bin Samat, TYDP IKRAM Negeri Kelantan. Dalam ucapan perasmiannya beliau berharap tujuan dan objektif seminar akan tercapai. Beliau juga menyeru hadirin untuk merasakan kemuliaan sebagai wanita Islam dengan melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat.

Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, Pakar Perunding Sakit Puan Pusat Perubatan UKM telah dijemput menyampaikan ceramah yang bertajuk “Mengarusperdanakan Agenda Keluarga Dalam Perjuangan”. Beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Wanita IKRAM Malaysia telah menerangkan tentang kepentingan keluarga sebagai unit sosialisasi dan tujuan pembentukan keluarga adalah untuk mendapatkan sakinah, mawaddah dan rahmah. Beliau juga menegaskan tentang tanggungjawab ibubapa untuk menyelamatkan ahli keluarganya dari terjerumus ke dalam neraka seperti dalam Surah At Tahrim, 6: “…Peliharalah diri dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu,…”. Untuk membentuk dan melindungi ahli dalam sesebuah keluarga, ia amat memerlukan sokongan dari sudut ekonomi, kesediaan emosi dan sosial.

Beliau juga menyeru hadirin untuk berperanan secara efektif dalam pembentukan keluarga kerana ianya merupakan asas batu bata kejayaan sesebuah masyarakat. Berdasarkan statistik terkini beliau mendedahkan masih ramai tidak berkeluarga di kalangan umur 25 tahun ke atas dengan pelbagai sebab dan alasan. Di samping itu statistik perceraian juga membimbangkan dengan kadar peningkatan  1% setahun. Antara sebab perceraian adalah orang ketiga, pasangan tidak bertanggungjawab dan tiada persefahaman.


Dalam mengarusperdanakan agenda keluarga, pelbagai cabaran dihadapi oleh semua. Antaranya cabaran mendidik anak-anak generasi  z dan alpha yang dibesarkan oleh ibubapa generasi Y (digital). Pengetahuan memahami keadaan pelbagai generasi dapat membantu pembinaan intitusi keluarga. Kegagalan institusi keluarga juga mengakibatkan berlakunya peningkatan mendadak anak tak sah taraf di Malaysia. Begitu juga dengan kes-kes pembuangan bayi samada hidup atau mati. Kegagalan ini juga mendorong wujudnya golongan feminisme yang menyalahkan institusi keluarga menghalang peningkatan potensi wanita. Di samping itu semakin berkembangnya kehidupan sebagai transeksual, lesbianisme dan homoseksual. Keadaan ini amat membimbangkan kerana agenda ini telah diserap secara halus melalui sistem pendidikan Barat seawal tadika, melalui filem-filem dan budaya K Pop. Selain itu kegagalan institusi keluarga juga menyumbang kepada peningkatan kes-kes kemurungan di kalangan lelaki dan wanita.

PM Dr Harlina juga telah sudi mengadakan sesi interaktif dengan hadirin dalam sesi perkongsian “Kemahiran Wanita dalam Menggoncang Dunia”. Sebagai seorang yang berkerjaya professional dan berpengalaman luas terlibat dalam kepimpinan pelbagai NGO massa, wanita dan komuniti beliau tidak lokek berkongsi mengenai pengurusan masa efektif dan bagaimana menggunakan bahasa cinta untuk membahagiakan diri dan pasangan masing-masing.
Semasa rehat, telah diadakan kempen “Wanita Palestin Kami Bersamamu”. Sesi ini dikendalikan oleh Dr Hafidzah Mustakim, Ahli DPN IKRAM, Aqsa Syarif dan IKRAM Siswa. Persembahan multimedia mengenai Palestin dan kutipan derma serta jualan lencana ‘Rose to Rose’ telah dijalankan.