Wednesday, Aug 23rd

Kemaskini terakhir: 03:39:40 PM GMT

Anda Di Sini: AKTIVITI KELANTAN NEGERI KEPERIHATINAN IKRAM TERHADAP MASYARAKAT ROHINGYA MENDAPAT SOKONGAN DARIPADA KERAJAAN NEGERI KELANTAN

KEPERIHATINAN IKRAM TERHADAP MASYARAKAT ROHINGYA MENDAPAT SOKONGAN DARIPADA KERAJAAN NEGERI KELANTAN

1 Disember 2012, Sabtu - Kerajaan Negeri Kelantan hari ini telah mencatat sejarah baru kerana muncul sebagai negeri pertama di Malaysia menjemput secara rasmi Wakil IKRAM dari JK Luar Negara dan JK Peduli Ummah untuk berkongsi pengalaman dengan mereka yang telah ke Myanmar baru-baru ini. “Sebelum ini, hanya pihak pengurusan surau dan masjid di seluruh negara yang menjemput kita untuk berkongsi pengalaman dan memberi peluang kepada IKRAM  bercerita dan menjelaskan perkara sebenar yang berlaku di Myanmar khususnya terhadap masyarakat Islam Rohingya” ujar Wan Mohd Yusof  bin Wan Ismail, Ketua Misi Bantuan Tabung Kasih Rohinya, Pertubuhan IKRAM, Malaysia.

Satu sesi Perkongsian Khas Tragedi Arakan telah berlangsung di Dewan Kenanga, Hotel Raudhah, Kota Bharu. Majlis tersebut telah dirasmi oleh tetamu istimewa, YB Dato’ Haji Abdul Fattah Mahmud, Exco Pembangunan Insan, Belia dan NGO Kerajaan Negeri Kelantan. Dalam ucapan perasmiannya, beliau telah menjelaskan bahawa setiap daripada kita sebagai umat Islam tidak boleh alpa dan perlu sentiasa bekerja untuk keadilan umat sejagat dengan bersungguh-sungguh. Beliau juga turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan tetap memberikan sokongan dan ruang kepada mana-mana “NGO” yang mengadakan program-program  untuk membangkitkan kesedaran Islam di kalangan masyarakat. Kesungguhan dan sikap perihatin telah dikongsikan bersama dimana beliau telah bersama dengan para hadirin di sepanjang penerangan yang diberikan.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan AlQuran dari surah Al-Anfal oleh Saudara AlHafiz Sirajuddin dari Arakan, Myanmar. Beliau adalah salah seorang berbangsa Rohingya yang telah lama menetap di Kelantan dan menjadi guru hafiz di Sekolah Tahfiz Al Amin, Kota Bharu. Kemudian majlis diikuti dengan ucapan aluan oleh YDP IKRAM Negeri Kelantan, Ustaz Dr. Mohd Sharani bin Mohd Naim. Beliau telah menyatakan kesyukuran terhadap sokongan oleh Kerajaan Negeri Kelantan terutama oleh YB Dato’ dan terus meraikan kehadiran sekumpulan saudara Islam Rohingya yang telah menetap dan bekerja di negeri Kelantan. Pada malam itu juga Ustaz Wan Subki bin Wan Salleh, Naib Presiden IKRAM Pusat yang juga Pengerusi JK Luar Negara turut hadir bersama.

Sejurus selepas itu para hadirin diberikan pendedahan dan ilmu yang amat bermanfaat dalam Perkongsian Tragedi Arakan oleh Anggota Misi Kemanusiaan IKRAM merangkap Pengurus JK Luar Negara Saudara Wan Mohd Yusof bin Wan Ismail. Sesi pembentangan oleh beliau memberikan kesedaran kepada semua yang hadir terutama sentuhan ketika beliau menceritakan pengalaman beliau dan beberapa orang wakil NGO daripada Malaysia dan Indonesia yang turut sama dalam  misi bantuan ke Myanmar beberapa bulan yang lalu. Beliau telah menjelaskan hampir kesemua maklumat berkaitan tragedi pembunuhan dan pemusnahan tempat tinggal masyarakat Islam Rohingya di Arakan, Myanmar.  Akibat bencana ini kira-kira 80% daripada umat Islam di situ telah menjadi pelarian dan tinggal di khemah-khemah sementara yang amat dhaif.

Sehubungan dengan keadaan itu, beliau menyeru kepada seluruh umat Islam supaya segera menghulur bantuan khususnya kewangan bagi meringankan beban derita yang ditanggung oleh masyarakat Islam Rohingya di Arakan. Kutipan Dana untuk penduduk Arakan dilancarkan pada malam itu.  Segala bantuan kewangan akan digunakan untuk membina rumah perlindungan, sistem kemudahan air dan tandas serta dewan.