Wednesday, Oct 18th

Kemaskini terakhir: 03:39:40 PM GMT

Anda Di Sini: PERKONGSIAN TAZKIRAH MERENUNG KE DALAM DIRI DI SEPANJANG JALAN DAKWAH

MERENUNG KE DALAM DIRI DI SEPANJANG JALAN DAKWAH

Tulisan: Sheikh Mohamed Hamed Eliwa

Terjemahan: Ust Tajul Arifin Che Zakaria

Menjadi kewajipan para duah (pendakwah) untuk merenung jauh ke dalam diri mereka sendiri dan bermujahadah dengan bersungguh-sungguh melawan kehendaknya. Mereka hendaklah sentiasa tegas dalam bermuhasabah dan jangan sekali-kali meremehkan usaha ini dalam apa keadaan sekalipun. Mereka hendaklah setiasa mengambil ‘azimah’ dalam bermuhasabah sehinggalah Allah s.w.t. meluruskan urusanNya.

Ini disebabkan jalan dakwah yang sedang dilaluinya ini penuh dengan fitnah (tribulasi) dan persimpangannya terlalu sukar untuk ditempuhi. Justeru Imam Syahid Hasan Al-Banna sering mengingatkan para ikhwannya kepada suatu yang menjadi kewajipan ke atas seseorang al-akh itu bertajuk: (Menghalang berlakunya mudhorat daripada jiwa dan kewajipan menjaganya).. di dalam pesanannya bagi anggota Ikhwan Muslimin (IM) pada tahun 1939 setelah selesai berlangsungnya Muktamar Kelima beliau berkata:

“Wahai Ikhwan sekalian, beramal untuk memelihara jiwa kita sendiri itu adalah kewajipan pertama dalam susunan keutamaan wajibat kita. Maka hendaklah  kamu bersungguh-sungguh bermujahadah dengan diri kamu. Pastikan diri kamu berada di atas ta’alim Islam dan hukum-hukumnya. Jangan kamu meremehkan (meringan-ringankan) ta’alim Islam dan hukum-hukumnya itu dalam apa keadaan sekalipun. Hendaklah kamu sentiasa berada dalam ketaatan dan larilah kamu dari dosa serta bersihkan diri kamu dari perkara-perkara maksiat. Hubungkanlah hati-hati dan perasaan kamu sentiasa dengan Allah yang merupakan pemilik langit dan bumi. Lawanlah kemalasan dan singkirkan perasaan lemah. Pastikan perasaan dan semangat syabab (pemuda) kamu terarah kepada kebaikan dan kesucian. Hisablah diri-diri kamu dalam hal ini dengan penghisaban yang sukar. Berhati-hatilah kamu agar jangan sampai berlalu kepada kamu satu detik tanpa amal yang baik dan tanpa usaha yang murni bagi kemaslahatan dakwah ini”.

Di antara perkara yang perlu diambil berat oleh para duat ialah senantiasa menilik hati dan jiwanya supaya selari antara kata-kata dan amalannya. Kerana mengajak (berdakwah) manusia kepada kebaikan dalam keadaan berlakunya percanggahan dengan apa yang kita serukan adalah suatu musibah besar dan ia adalah satu penyakit yang amat berbahaya. AllahTaala berfirman:

(أتأمرون الناس بالبر وتنسون أنفسكم وأنتم تتلون الكتاب أفلا تعقلون)


“Apakah kamu menyuruh manusia dengan kebaikan dan kamu lupa terhadap diri kamu sendiri, sedangkan kamu membaca Kitab. Apakah kamu tidak berakal?”

Firman-Nya lagi:

( يا أيها الذين آمنوا لم تقولون مالاتفعلون ، كبر مقتا عند الله أن تقولوا مالاتفعلون )


“Wahai orang-orang beriman, mengapa kamu mengatakan suatu yang kamu tidak kerjakan? Amat besarlah kebencian di sisi Allah s.w.t. bahawa kamu mengatakan suatu yang kamu tidak kerjakan”.

Telah diriwayatkan bahawa Allah Ta’ala telah berfirman kepada Nabi Isa a.s.:

(يا بن مريم : عظ نفسك فإن اتعظت فعظ الناس وإلا فاستحى منى)


“Wahai Ibnu Maryam, nasihatilah akan dirimu terlebih dahulu. Bila kamu telah nasihatkan dirimu, maka nasihatkanlah manusia lain. Jika tidak demikian, maka malulah kamu kepadaKu”.

Di antara akibat buruk mereka itu pada hari kiamat ialah penghuni syurga melihat mereka diazab di dalam neraka, lalu mereka (penghuni syurga) bertanya mereka (dalam neraka): “Apa yang menyebabkan kamu dihumbankan ke neraka?” Sesungguhnya kami dapat masuk syurga dengan sebab ajaran dan tunjuk ajar kamu kepada kami! Lalu mereka menjawab: “Sesungguhnya kami dulu (di dunia) menyuruh kamu berbuat baik, tetapi kami tidak beramal dengan kebaikan itu, kami dulu (di dunia) melarang kamu dari kemungkaran, tetapi kami telah melakukan kemungkaran tersebut. Sesungguhnya ia adalah suatu yang amat malang bagi kami, kami menyesal sesesal-sesalnya (berlakunya itu di hadapan khalayak ramai pada hari Kiamat).

Kepatuhan antara kata-kata dan amalan bukan suatu yang senang atas jiwa. Kerana jiwa manusia dikelilingi nafsu syahwat dan kebiasaan (tabiat). Justeru wajiblah para duat melakukan riadhah jiwa; bermujahadah dan meniliknya. Antara faktor yang boleh membantu ke arah itu ialah hubungan dengan Allah s.w.t. dan sentiasa meminta pertolongan daripada-Nya dan kedekatan jiwa di hadapan-Nya.

Oleh itu, tidak mungkin seorang duat itu mampu menjadi qudwah terhadap apa yang diucapkannya melainkan apabila dia berjaya memperkukuhkan hubungannya dengan Allah dan mendapatkan pertolongan daripada-Nya. Maka jadilah:

(إياك نعبد وإياك نستعين)

“Hanya kepada Engkau sahaja kami sembah dan hanya kepada Engkau  sahaja kami meminta pertolongan”

sebagai manhaj dan jalannya. Pada ketika itu sahaja Allah s.w.t. pastinya akan menganugerahkan petunjuk-Nya ke jalan yang lurus, iaitu jalan mereka yang telah diberi nikmat ke atas mereka itu. Ia akan menolongnya menghadapi fitnah-fitnah dan simpang-siur di sepanjang jalan dakwah ini. Manusia akan melihat sifat benarnya, lalu dengan itu Allah Taala akan membuka hati-hati manusia dengan sifat benar tersebut.

Telah berkata pengarang tafsir Fi Zilal Al-Quran (Asy-Syahid Syed Qutb):

إن الكلمة لتنبعث ميته ، وتصل هامدة مهما تكن طنانة رنانة متحمسة إذا هي لم تنبعث من قلب يؤمن بها ، ولن يؤمن إنسان بما يقول حقا إلا أن يصبح هو ترجمة حية لما يقول ، وتجسيما واقعيا لما ينطق ، عندئذ يؤمن الناس ، ويثق الناس ، ولو لم يكن فى تلك الكلمة طنين ولا بريق ، إنها حينئذ تستمد قوتها من واقعها لامن زينتها ، وتستمد جمالها من صدقها لا من بريقها ، إنها يومئذ دفعة حياة لأنها منبثقة من حياة

“Sesungguhnya sesuatu kalimah itu bila keluar dalam keadaan ‘mati’, ia tetap longlai sekalipun bermotivasi dan kuat bunyinya bilamana ia tidak keluar dari hati orang yang beriman dengannya. Seseorang insan itu tidak akan dikira beriman dengan sebenar-benarnya melainkan ia menjadi terjemahan yang hidup pada apa yang diperkatakan, berjisim dan tampak hidup pada apa yang diucapkan. Ketika itu insan akan beriman dan akan percaya sekalipun pada kalimah itu tidak dihiasi dengan keindahan dan kecantikan. Sesungguhnya pada ketika itu kata-kata itu mendapat kekuatannya dari realitinya, bukan dari perhiasannya. Kecantikan itu datang dari sifat benarnya. Ia lantas menjadi kuasa/tenaga yang m dari kehidupan sebenar”. (Fi Zilal jld 1, m/s 68)

Kesimpulannya ada dua:

Pertama:

Orang yang mengajak orang lain kepada petunjuk sedangkan dia tidak beramal dengannya samalah seperti lampu yang memberi cahaya kepada manusia tetapi ia membakar dirinya sendiri. Semoga Allah menyelamatkan kita semua.

Kedua:

Bahawa tanggungjawab duah terhadap orang lain tidak harus memalingkan mereka dari tanggungjawab terhadap diri mereka sendiri. Dan bahawa kesibukan mereka berusaha memperbaiki manusia seharusnya tidak memalingkan mereka daripada mengislahkan hal keadaan mereka. Maka dengan demikian mereka telah memberi hak kepada yang berhak.

Kita bermohon agar Allah s.w.t. menjadikan batin kita semua lebih baik dari zahir (lahiriah) kita, yang tersembunyi pada kita lebih baik dari yang terserlah, dan semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita benar dalam ucapan dan amalan serta ikhlas dalam sunyi dan terbuka.

وآخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين