Wednesday, Aug 23rd

Kemaskini terakhir: 03:39:40 PM GMT

Anda Di Sini: AKTIVITI KELANTAN NEGERI MAJLIS TAARUF HIDAYAH CENTRE BERJAYA MENEMUKAN SAUDARA BARU DAN IKRAM

MAJLIS TAARUF HIDAYAH CENTRE BERJAYA MENEMUKAN SAUDARA BARU DAN IKRAM

Kota Bharu, Jumaat 15 Mac 2013, IKRAM Malaysia negeri Kelantan  telah berjaya mengumpul kira-kira 60 orang  saudara baru Islam dan bukan Islam di dalam satu majlis taaruf dan makan malam yang telah diadakan di sebuah restoran terkenal di Kota Bharu malam tadi. Turut hadir di dalam majlis tersebut ialah naib Presiden IKRAM Malaysia, Ustaz Wan Subki, Setiausaha PERKIM negeri kelantan, wakil dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri Kelantan, YDP IKRAM Negeri dan ahli jawatankuasanya.Wakil Hidayah Center IKRAM Malaysia, Saudara Zun Ariff telah memberi ucaptama dalam majlis itu. Beliau merasa terharu kerana sambutan baik yang diberikan oleh saudara baru dari berbagai bangsa iaitu melebihi 12 bangsa termasuk  rakan-rakan bukan Islam. Satu video clip berkenaan Hidayah Center dan aktivitinya ditayangkan juga semasa ucaputama itu.


Seorang peserta yang berasal dari Negara Nepal, Mohamad Yaakob merasa bersyukur kerana kedatangannya ke Malaysia telah membuka pintu  kepadanya untuk memeluk agama Islam.  Beliau yg datang ke sini 6 bulan yang lalu untuk bekerja di Mydin Hypermarket Kubang Kerian sebelum ini sudah 13 tahun menetap di Doha, Qatar. Dikampungnya di Nepal terdapat ramai umat Islam malahan sebelah rumahnya juga ada masjid tetapi tidak tergerak di hatinya untuk mendekati Islam. Beliau telah memeluk Islam melalui International Islamic Centre yg diuruskan oleh Mohamed Micheal yang berasal dari Ghana tetapi telah menetap di sini lebih 20 tahun.


Cenderahati berupa risalah Islam telah juga diedarkan kepada tetamu yang hadir sebagai tanda penghargaan dari IKRAM. Majlis ini adalah titik permulaan bagi IKRAM Kelantan dalam usaha untuk menyantuni saudara baru dan melebarkan risalah islam kepada masyarakat bukan Islam di negeri Kelantan.