Wednesday, Oct 18th

Kemaskini terakhir: 03:39:40 PM GMT

Anda Di Sini: WANITA AKTIVITI PROGRAM JALINAN KASIH

PROGRAM JALINAN KASIH

PROGRAM JALINAN KASIH RAMADHAN MELAHIRKAN KESEDARAN TENTANG NASIB KELUARGA PALESTIN

KOTA BHARU, 12 RAMADHAN – Wanita IKRAM Kelantan telah berjaya menganjurkan Program Jalinan Kasih Ramadhan yang bertujuan untuk melahirkan kesedaran terhadap nasib wanita dan keluarga mereka di bumi Palestin. Peserta yang hadir merasakan bahawa mereka mempunyai peranan yang besar untuk membantu terutama di bulan Ramdhan, bulan yang dianjurkan supaya kita banyak menghulurkan infaq kepada golongan yang memerlukan.

Menurut Cik Rosma, salah seorang peserta muda yang ditemubual selepas program, ceramah-ceramah yang disampaikan tentang isu Palestin telah menyentuh hatinya dan dia bersemangat untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin dengan apa jua cara yang termampu.

“Pendedahan yang diberi banyak membuka minda saya bahawa aktiviti-aktiviti yang IKRAM jalankan bukan sahaja berbentuk dalaman tetapi ia juga berkait dengan peringkat antarabangsa!” kata Puan Junaidah Sulong yang hadir pada hari itu. Beliau adalah seorang guru yang sedang mengajar di salah sebuah sekolah menengah di sekitar Kota Bharu.

Seramai hampir 100 orang wanita telah hadir pada majlis tersebut yang terdiri daripada pelbagai generasi. Ketua Wanita IKRAM, Dr Norhani bt Abdul Rani telah memulakan slot aluan dan menyatakan tujuan wanita berkumpul adalah untuk menjalinkan hubungan sesama wanita yang hadir pada majlis tersebut dan juga menjalinkan keakraban dan rasa prihatin terhadap nasib keluarga wanita di Palestin.

Tiga pengisian menarik disampaikan oleh Ustazah Hasanah yang bertajuk Rumahku pada bulan Ramadhan dan juga pengisian oleh Dr Hafidzah Mustakeem, AJK Wanita IKRAM Pusat, yang banyak memberikan kesedaran tentang wanita dan keterlibatan mereka dalam perjuangan termasuklah menghulurkan bantuan kepada sahabat-sahabat di Palestin melalui Projek Back To School, Projek Rose2Rose, Women2Women dan Aqsa2Gaza. Wakil Aqsa Syarif Kelantan, Dr Othman bin Mohd Zain memberi penerangan tentang Program Aqsa Syarif AQSA2GAZA2.

Acara kemuncak pada hari itu adalah penyerahan kad ‘We love Palestine’ oleh anak-anak IKRAM Juniors untuk dihantar ke rakan-rakan di Palestin. Kemudian Ketua Wanita IKRAM Kelantan, Dr Norhani menyerahkan wang terkumpul pada majlis tersebut sebanyak lebih dari RM3 ribu ringgit kepada Dr Othman bin Mohd Zain.