Wednesday, Oct 18th

Kemaskini terakhir: 03:39:40 PM GMT

Anda Di Sini: IKRAM Daerah KOTA BHARU IFTAR DAN PENYAMPAIAN SUMBANGAN IKRAM KB DAN ISLAMIC RELIEF MALAYSIA

IFTAR DAN PENYAMPAIAN SUMBANGAN IKRAM KB DAN ISLAMIC RELIEF MALAYSIA

 

Kota Bharu, 13 Ramadhan 1432 / 13 Ogos 2011. Alhamdulillah, dengan izin Allah swt, Pertubuhan IKRAM daerah Kota Bharu telah berjaya melaksanakan  program Iftar Ramadhan dan majlis penyerahan sumbangan ramadhan kepada golongan-golongan miskin dan ibu tunggal bertempat di Masjid Mukim Tapang, Kota Bharu.

Objektif utama program ini membolehkan ahli-ahli Pertubuhan IKRAM Kota Bharu berinteraksi dengan masyarakat di sekitar Masjid Mukim Tapang melalui penganjuran bersama program Iftar dengan Masjid Mukim Tapang..

 

Acara-acara yang telah dilaksanakan semasa program iftar ini adalah majlis pengistiharan Masjid Mukim Tapang sebagai pusat aktiviti dakwah IKRAM Kota Bharu oleh YDP IKRAM Kota Bharu, penyerahan sumbangan ramadhan ”Islamic Relief Malaysia (IRM)” kepada golongan-golongan miskin dan ibu-ibu tunggal melalui IKRAM Kota Bharu sebagai rakan pelaksana dan Tazkeerah Ramadhan oleh Ustaz Muhammad bin Ismail, Pensyarah di Kolej Jaipetra, Kota Bharu. Program ditamatkan dengan solat terawih yang diimamkan oleh Ustaz Muhammad Ismail.

 

Pada program Iftar ini, Pertubuhan IKRAM daerah Kota Bharu telah menyumbang seekor lembu dan 3 kampit beras yang beratnya 25 kg setiap kampit hasil daripada sumbangan daripada ahli-ahli IKRAM Negeri Kelantan.

“Hebat juga orang IKRAM ni lapah lembu” ujar Imam Masjid Mukim Tapang, Tuan Hj. Muhammad bin Baharudin apabila melihat kelincahan Ustaz Mohd Shamsuddin Yusoff (berkopiah), setiausaha JK Dakwah IKRAM Negeri Kelantan melapah lembu dengan cekapnya.

Wanita IKRAM Kota Bharu juga tidak ketinggalan bersama-sama dengan kaum wanita di sekitar masjid Tapang untuk bersama-sama menyedia dan memasak lauk-lauk untuk berbuka. Ketua Wanita IKRAM Negeri Kelantan, Dr. Norhani bin Abdul Rani dan Ketua Wanita IKRAM daerah Kota Bharu, Prof. Madya Dr. Habsah bt Hassan juga hadir sama.

Seramai 50 orang penerima yang terdiri daripada golongan-golongan miskin dan ibu-ibu tunggal telah menerima sumbangan masing-masing. Sumbangan ini telah disampaikan oleh Dr. Mohd Sharani bin Mohd Naim iaitu YDP IKRAM Kota Bharu,Prof. Dr Dinsuhaimi Sidik, wakil IRM dan Imam Masjid Mukim Tapang, Hj.Muhammad bin Baharudin.

Sebelum berbuka, para jemputan yang terdiri daripada masyarakat Mukim Tapang dan ahli-ahli IKRAM negeri Kelantan telah dijamu dengan santapan rohani bertajuk ”Ramadhan membina manusia bertaqwa” oleh Ustaz Muhammad bin Ismail, pensyarah Kolej Jaipetra, Kem Kijang, Kota Bharu.