Thursday, Dec 14th

Kemaskini terakhir: 03:39:40 PM GMT

Anda Di Sini: WANITA AKTIVITI SAMBUTAN MAULIDUR RASUL IKRAM JUNIOR KOTA BHARU PERMULAAN AKTIVITI PUSAT PERKEMBANGAN AULAD (AULAD CENTRE)

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL IKRAM JUNIOR KOTA BHARU PERMULAAN AKTIVITI PUSAT PERKEMBANGAN AULAD (AULAD CENTRE)

 

Bersempena hari cuti umum Maulidur Rasul, AJK Wanita Pertubuhan IKRAM Daerah Kota Bharu telah menganjurkan program Mauldir Rasul dan Program Sulung IKRAM Junior Kota Bharu iaitu Program Riang Ria Bersama bagi melaksanakan Modul iQ IKRAM Junior. Sambutan ini juga diadakan bertujuan untuk memperkenalkan Pusat Perkembangan Aulad (Aulad Centre) yang mula beroperasi semenjak awal persekolahan 2012 baru-baru ini. Satu Forum Parenting yang bertajuk ‘Mendekati Rasulullah dalam Pendidikan Anak-anak’ telah diadakan berselari dengan program anak-anak. Forum pada hari itu menampilkan dua tokoh yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Dr Mohd Sharani bin Mohd Naim, YDP Pertubuhan IKRAM KB dan Ustazah Tempawan bt Ishak, Ketua Wanita IKRAM Daerah Bachok dan dikendalikan oleh Moderator Tuan Haji Khairuddin.

 

 

Menurut pengarah program, Puan Rosnani bt Abdullah yang juga pengerusi Unit Aulad IKRAM Daerah Kota Bharu, sambutan pada hari tersebut adalah untuk memperkenalkan dan melaksanakan modul IKRAM junior kepada kanak-kanak di IKRAM junior aulad centre dan juga anak-anak ahli IKRAM daerah Kota Bharu. Menurutnya lagi program ini juga diharapkan dapat memberi pendedahan kemahiran berkaitan keibu bapaan cara Islam kepada ibubapa yang menghantar anak-anak mereka ke aulad center dan kepada pasangan IKRAM yang baru berumahtangga.

 

Salah seorang peserta, Puan Hajjah Khadijah, seorang tok guru mengaji di Kampung Bayam, yang menghantar dua orang cucunya ke Aulad Center terus mendaftarkan cucu-cucunya menjadi ahli IKRAM Junior. Beliau berharap cucunya akan terus mendapat pendidikan awal yang di tawarkan oleh pihak IKRAM. Menurutnya lagi kedua-dua cucunya itu baru saja kehilangan ibu yang tercinta. Salah seorang cucunya telah memulakan program hari itu dengan bacaan surah Yasin yang dihafaznya.

 

Acara kemuncak pada hari itu adalah acara selawat keatas Junjungan Nabi Muhammad saw yang tercinta. Anak-anak IKRAM Junior tahap 1 iaitu 4 sehingga 6 tahun mengepalai selawat dan para hadirin telah turut sama berselawat. Kemudian acara disusuli dengan persembahan Geng IKRAM Junior Tahap 2 (7 hingga 9 tahun) dan Tahap 3 (10 hingga12 tahun). Alhamdulilah acara sebegini diharap dapat menyemai rasa cinta anak-anak kepada kekasih Allah swt, Nabi Muhammad saw. Seramai hampir 30 orang ibubapa dan 40 orang kanak-kanak telah menyertai program pada hari tersebut.