Thursday, Dec 14th

Kemaskini terakhir: 03:39:40 PM GMT

Anda Di Sini: IKRAM Daerah KOTA BHARU KUNJUNGAN PERKIM/IKRAM KELUANG JOHOR DISAMBUT PENUH MAHABBAH OLEH IKRAM KB

KUNJUNGAN PERKIM/IKRAM KELUANG JOHOR DISAMBUT PENUH MAHABBAH OLEH IKRAM KB

E-mail Cetak PDF

Sabtu, 17 R.Akhir 1433/10 March 2012-  IKRAM Kota Bharu amat bertuah kerana telah menerima kunjungan ukhuwwah fillah dari warga PERKIM Daerah Keluang Johor yang disertai juga oleh IKRAM Daerah Keluang, Johor. Pertemuan yang penuh mahabbah ini berlangsung di Dewan SRI Aman, Jalan Telipot. Rombongan seramai lebih kurang 70 orang adalah terdiri daripada saudara-saudara baru beserta para pegawai PERKIM yang memberikan sepenuh sokongan dalam menjalani kehidupan serta membimbing mereka. Ini merupakan di antara aktiviti-aktiviti PERKIM Keluang, Johor yang cuba merapatkan hubungan dengan saudara-saudara baru. Diharapkan aktiviti seperti ini dapat menguatkan lagi azam dan istiqamah mereka dalam menempuh mehnah dan cabaran apabila kembali kepada agama fitrah mereka. Kunjungan yang penuh mahabbah ini juga memberikan pengalaman yang berharga bukan saja kepada para pelawat yang berkunjung tetapi juga dapat memberikan satu inspirasi baru bagi AJK Kota Bharu untuk melakukan lonjakan dakwah kepada Non-Muslim.

 

Siri lawatan mereka dimulakan dengan jamuan makan malam di kantin SRI Aman. Kemudian para jemputan diraikan dalam satu majlis sesi mahabbah dimana ia dimulai oleh Ucapan Aluan oleh YDP Negeri Kelantan, AlFadhil Ustaz Abdullah Tahmin. Beliau menegaskan bahawa pihak IKRAM sentiasa membuka ruang seluas-luasnya kepada mereka untuk bersama dalam segala aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh IKRAM. Sesi kedua diteruskan dengan ucapan oleh timbalan pengerusi PERKIM yang menjadi salam seorang ketua rombongan pada malam itu. Kemudian para hadirin diberi peluang untuk bertanya dalam sesi soal-jawab yang dikendalikan oleh YDP Negeri dan YDP Daerah Kota Bharu. Sebelum pertemuan ditamatkan, para jemputan yang hadir dipertontonkan dengan tayangan video ringkas mengenai kegiatan dakwah, tarbiyah dan kebajikan yang telah dijalankan pada tahun 2011.

Menurut salah seorang saudara baru yang ditemui iaitu adik Norhashni, beliau amat tertarik dengan Islam setelah beliau membaca terjemahan AlQuran. Sambil menitiskan air mata beliau menegaskan bahawa Al-Quran lah yang telah memberikan sinar baru dalam hidupnya. Beliau sekeluarga telah kembali kepada Islam dan beliau membaca Al-Quran apabila ibunya memberitahu kepadanya bahawa beliau dan ayahnya akan memeluk Islam. Kini sudah 3 tahun dia berada dalam agama fitrah ini. Kini, hidupnya lebih gembira dan seronok. Dia paling suka solat dan tidak pernah lupa untuk menunaikannya. Sekarang dia bersekolah dalam tingkatan empat di Keluang, Johor dan adalah seorang berbangsa India. Dia mengikuti rombongan bersama-sama adiknya yang baru dalam tingkatan 1. Beliau menyatakan bahawa PERKIM  banyak membantunya untuk mendalami agama Islam.

Salah seorang peserta lagi yang ditemui adalah bukan saudara baru tetapi mengiringi suaminya yang dikahwininya berbangsa cina. Beliau mengikuti rombongan adalah untuk memberikan sokongan padu kepada suami tercinta. Beliau amat bangga kerana suaminya terus berusaha untuk mendalami agama Islam bukan sekadar untuk berkahwin sahaja.

Malam yang penuh barakah itu disudahi dengan salam jamaie. Rombongan akan menginap dihotel yang telah ditempah berdekatan dengan pasar Siti Khadiijah sebelum mereka menyambung jaulah mereka ke Terengganu pada keesokan harinya.