Thursday, Dec 14th

Kemaskini terakhir: 03:39:40 PM GMT

Anda Di Sini: WANITA PERUTUSAN KETUA WANITA

PERUTUSAN KETUA WANITA NEGERI

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم ، الحمدلله رب العالمين ، والصلاة والسلام على سيد المرسلين ، وعلى آله وصحبه أجمعين ، وبعد ،

Bismillahirrahmanirrahim, Segala Puji Bagi Allah SWT dan selawat dan salam kepada Junjungan yang kita kasihi ArRasul Muhammad SAW.

Bersyukur kerana kita dapat bersama dalam Portal IKRAM Negeri Kelantan dan dalam segmen yang dikhususkan kepada Wanita. Adalah diharapkan bahawa wanita akan terus menyumbang bukan sahaja dalam keluarga masing -masing tetapi juga melebarkan fikrah dan tenaga mereka di lapangan bagi menyebarkan dakwah, tarbiyah dan melestarikan kebajikan bagi segenap masyarakat

Wanita Ikram, merupakan sayap kepada Pertubuhan Ikram Malayasia,  sama-sama menggembeleng tenaga dalam memperjuangkan isu-isu wanita di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, selain membela hak-hak golongan tersebut seperti digariskan oleh syarak. Wanita Ikram bukan sahaja memperjuangkan isu wanita malah merangkumi usaha dalam pembangunan belia, ekonomi, politik, pendidikan, kepimpinan wanita, undang-undang syariah, dan dakwah.

Bagi meletakkan asas kepada wanita Islam itu sendiri, Wanita IKRAM telah menggariskan Piagam Wanita yang menekankan perkara-perkara berikut: 

1. Menghuraikan prinsip asas yang memberi pengiktirafan terhadap peranan, tanggungjawab dan hak wanita dan lelaki di dalam semua aspek pembangunan diri, keluarga,  masyarakat dan negara bagi mewujudkan umat pertengahan.

2. Menyatakan pendirian Wanita IKRAM terhadap peranan,  tanggungjawab dan hak wanita dan lelaki di dalam sebuah umat pertengahan. 

3. Tanggungjawab dan peranan melahirkan umat pertengahan mestilah dilaksanakan oleh setiap individu sama ada lelaki maupun wanita dan perlu berjalan serentak dan seiring.

Piagam yang dibentangkan oleh Ahli Jawatankuasa Wanita Pusat IKRAM ini mengandungi tiga penegasan:

1. Mengiktiraf kepentingan peranan wanita dalam pembangunan diri, keluarga dan masyarakat yang mana peranan lelaki dan wanita adalah saling melengkapi dalam usaha mewujudkan umat pertengahan.

2. Mengiktiraf prinsip kesamarataan (kesaksamaan) lelaki dan wanita menurut nilai-nilai Islam dengan mengambilkira fungsi biologi dan peranan setiap jantina dan kemampuan mereka dalam memberikan khidmat terbaik kepada keluarga dan masyarakat.

3.Mengiktiraf dan menuntut lelaki dan wanita berperanan dalam memantapkan dan mengukuhkan institusi keluarga.

Selamat menghayati, melaksanakan dan menyebar-luaskan piagam ini. Salah satu cara yang paling berkesan adalah melalui media sosial yang dibangunkan secara positif . Akhawat ...teruskanlah menulis dan berkarya serta melangkahlah dengan idea2 yang bernas. Bangunkan media secara berkesan dan kreatif sehingga mampu mengubah minda masyarakat ke arah pelaksanaan syariat dan ke arah mengharmonikan masyarakat Malaysia yang kita cintai ini.

Sekian, salam ukhuwwah

UKHUWWAH TERAS KEGEMILANGAN

MALAYSIA MENUJU NEGARA RAHMAH

Dr Norhani bt Abdul Rani
Ketua Wanita IKRAM
Negeri Kelantan