Thursday, Dec 14th

Kemaskini terakhir: 03:39:40 PM GMT

Anda Di Sini: PERKONGSIAN SEMASA

SEMASA

Pam Susu: Antara Keperluan atau Trend?

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Dr Zaharah Sulaiman adalah pakar penyusuan ibu HUSM

Topik mengenai pam susu adalah antara hal yang lumrah dibincangkan oleh ibu-ibu yang akan kembali bekerja. Daripada temubual saya dengan ibu-ibu tersebut, boleh dikatakan hampir setiap dari mereka menyenaraikan pam susu sebagai satu keperluan WAJIB ada. Ada di antara mereka telah membelinya seawal mengetahui mereka mengandung. Ada pula yang meng’google’ dan ber’window shopping’ secara maya untuk melihat apakah tawaran yang paling menarik. Manakala masa hujung-hujung minggu ramai juga yang memperuntukkan masa untuk ke karnival dan expo penjualan barang-barang keperluan bayi termasuk pam susu.

Selain dari itu, tidak kurang juga yang memanfaatkan dan menyumbang idea dan pandangan di dalam forum-forum maya yang berkaitan dengan hal penyusuan dan keibubapaan. Ada yang menyertai kumpulan sokongan ibu-ibu menggunakan aplikasi seperti Whatsapps dab FB page. Mereka berkongsi pengalaman dan mendapatkan maklum balas dari pengguna kumpulan tersebut tentang jenis pam yang terbaik, kebaikan dan keburukan sesuatu pam dan mendapatkan perband
ingan antara pam.
Hal perkongsian maklumat yang sedemikian tidak ketara dan bukan sesuatu yang lumrah jika dilihat sepuluh tahun yang lalu. Perubahan positif ini menunjukkan kesedaran dan kepekaan masyarakat terutamanya wanita terhadap penyusuan ibu semakin meningkat.

Ada dua persoalan yang saya bawakan pada kali ini, iaitu:
1. Perlu ke ada pam susu? Sejauh mana ia membantu?
2. Apa implikasi pam susu terhadap tingkahlaku penyusuan?

Perlu ke ada pam susu?

Penggunaan pam susu bukanlah sessuatu yang baru. Pam susu yang pertama telah dipatenkan seawal tahun 1863 di Amerika Syarikat. Secara fungsinya, pam susu ini menyerupai pam susu mekanikal yang digunakan secara komersial di tempat penternakan lembu tenusu. Tetapi bentuk pam susu telah diinovasikan untuk lebih mudah diaplikasikan kepada ibu-ibu. Ada yang menggunakan pam tangan/manual dan ada juga yang menggunakan pam elektrik. Terdapat pam berkembar yang dicipta untuk membolehkan susu diperah daripada kedua-dua payudara serentak dengan lebih efektif.


Sejauh mana pam ini membantu?

Menurut kajian yang pernah dibuat di Stanford University in Palo Alto, CA pada tahun 2009, melibatkan ibu-ibu yang mempunyai bayi pramatang, di dapati bahawa pam susu yang paling efektif hanya mampu untuk mengepam susu sebanyak 50% sahaja pada satu-satu masa. Susulan dari kajian ini, kumpulan penyelidik yang sama mendapati bahawa jika teknik ‘hands on pum’ diaplikasikan, didapati jumlah susu yang dipam meningkat dua kali ganda. Ini menunjukkan bahawa, ransangan tangan secara terus ke atas payudara beserta pam memberikan kesan yang positif dan lebih efektif. Teknik ‘hands on pum’ juga didapati mampu meningkat jumlah susu yang dipam untuk jangkamasa panjang. Manakala ibu yang hanya menggunakan pam semata-mata, didapati lama kelamaan susu yang dipam semakin berkurangan.

Pandangan saya mengenai pam susu

Pam susu bukanlah satu kemestian dan TIDAK WAJIB ada di dalam list barang kelengkapan penyusuan ibu. Maknanya jika ibu tidak ada pam susu, atau jika ibu merasakan tidak mampu untuk memiliki pam susu, penyusuan secara ekslusif masih boleh dibuat. Apa yang perlu ada adalah:

1. Keyakinan ibu tersebut bahawa dia boleh memerah susu dengan menggunakan tangan
2. Bekas untuk menyimpan susu yang telah diperah
3. Label yang jelas tarikh dan masa susu itu diperah diletakkan pada bekas

Apa implikasi pam susu terhadap tingkahlaku penyusuan?

Perlu dibetulkan pandangan ramai ibu-ibu bahawa pam susu itu sebenarnya hanyalah alat bantuan menyusu dan bukan keperluan menyusu. Apa yang lebih penting ibu-ibu mempelajari teknik memerah susu menggunakan tangan. Ia adalah satu teknik asas dan boleh dipelajari dengan tunjuk ajar yang betul dari kaunselor atau perunding laktasi yang berpengalaman.

Apa-apa pun, bukanlah satu kesalahan untuk memiliki pam tersebut jika berkemampuan menperolehinya. Walaubagaimanapun, harga pam yang mahal tidak semestinya lebih efektif dari yang murah. Apa yang lebih penting adalah keserasian seseorang ibu itu mengendalikan pam tersebut. Tidak dinafikan ada ibu-ibu merasa selesa menggunakan pam yang ‘hands free’. Mereka merasakan ia adalah satu cara efektif kerana pada masa yang sama mereka boleh melakukan kerja-kerja lain.

Ibu-ibu lebih mengetahu apa yang sesuai dengan keperluan masing-masing. Apa jua pilihan anda, moga ia dapat membantu anda meneruskan penyusuan untuk bayi anda. Teruskan usaha dan berdoa moga Allah mencukupkan rezeki untuk bayi anda.

Nota: Penulisan ini pernah penulis paparkan di dalam sesawang Life Macaroni. Penulis mengadaptasi dari paparan terdahulu.
Dr Zaharah Sulaiman merupakan Pakar Penyusuan Ibu HUSM