Thursday, Dec 14th

Kemaskini terakhir: 03:39:40 PM GMT

Anda Di Sini: IKRAM Daerah TUMPAT

TUMPAT

IKRAM Tumpat Santuni Fakir Miskin

Bantuan

TUMPAT – Bersempena bulan Ramadan al-Mubarak, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Tumpat telah mengadakan program pengagihan sumbangan kepada fakir miskin di daerah ini semalam. En. Zulkifli Affandi, selaku Yang Dipertua IKRAM Tumpat telah menyampaikan pengagihan tersebut yang diadakan di Masjid SBJ Putera, Pasir Pekan. Program agihan bantuan tersebut adalah kerjasama antara IKRAM Daerah Tumpat dengan tajaan daripada  Islamic Relief Malaysia (IRM).

Dalam ucapannya, En.Zulkifli menyentuh tentang isu kefakiran yang boleh menjerumuskan manusia ke lembah kekufuran.

“Golongan fakir dan miskin di seluruh dunia sering menjadi sasaran ejen missionary. Lantaran itu, Islamic Relief Organization yang mempunyai cawangan di lebih 12 negara termasuk Malaysia memandang serius isu ini dan mengambil langkah yang sewajarnya untuk membantu golongan ini.”

Beliau juga berharap agar program seperti ini akan menghubung silaturahim dalam kalangan umat Islam dan memperkuat kesatuan mereka.

Seramai 50 orang fakir miskin yang dikenal pasti telah menerima sumbangan tersebut. Salah seorang penerima, Wan Sulaiman, 80, mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada IKRAM Tumpat atas sumbangan tersebut. Beliau yang tinggal bersendirian setelah kematian isteri setahun lalu, menderita penyakit darah tinggi dan sakit sendi lutut dan sudah tidak boleh bekerja.

Program yang bermula jam 6 petang itu turut diisi dengan tazkirah Ramadan yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Ismail, pensyarah Kolej Jaiputra, Kota Bharu dan berakhir dengan Iftar Perdana anjuran IKRAM Daerah Tumpat.